Kegunaan dan ciri Durian

Masakan

Selain dimakan begitu sahaja, durian juga boleh digunakan bagi memberi rasa kepada pelbagai jenis manisan seperti air batu campur, bubur, dodol, jem,[18] lempuk,[60] dan di zaman moden, aiskrim, kuih bulan, kopi kapucino dan susu kocak.[61] Ais durian ialah pencuci mulut yang popular di Indonesia, dijual di gerai tepi jalan di kota-kota, terutamanya di Jawa. Pulut durian atau ketan durian juga popular di musim durian di Indonesia dan Malaysia. Di Sabah, durian merah digoreng dengan bawang dan cili dan dihidangkan sebagai hidangan sampingan.[62] Durian isi merah secara tradisinya ditambah ke dalam sejenis sup ikan air tawar.[63] Ikan brengkes ialah ikan yang dimasak dalam sos durian, makanan tradisional di Sumatera.[64] Secara tradisi, kuih Bolen Bandung dibuat daripada pisang dan keju. Namun hari ini, terdapat juga Bolen durian. Isi durian kering boleh dijadikan kerepek.[65]

Durian boleh diawet dengan kedua-dua gula (misalnya lempok) dan garam (misalnya tempoyak). Tempoyak ialah sejenis pekasam yang diperbuat daripada isi durian tertapai, biasanya daripada durian berkualiti rendah yang kurang sesuai dimakan terus atau durian yang tidak dapat dihabiskan.[66] Tempoyak boleh dimakan begitu sahaja dengan nasi atau dibuat gulai. Sambal tempoyak terkenal di Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Di Thailand, durian selalunya dimakan segar dengan pulut, dan bongkah pes durian dijual di pasar, namun kebanyakan pes itu dilancung dengan labu.[41] Durian muda boleh dimasak sebagai sayur kecuali di Filipina, di mana hanya durian manis yang dimakan. Apabila durian dilumat dengan garam, bawang dan cuka, ia dipanggil "boder".[67] Biji durian boleh dimakan jika direbus, dibakar atau digoreng, dengan tekstur yang serupa dengan keladi, tetapi lebih lekit. Di Jawa, bijinya dihiris halus dan dimasak dengan gula sebagai konfeksi. Biji yang mentah bersifat toksik dan tidak harus dimakan kerana mengandungi asid lemak siklopropena.[68]

Tunas dan daun muda durian kadangkala dimasak sebagai sayur daun. Kadangkala abu kulit yang dibakar ditambah kepada kek tertentu.[41] Ranggi bunga durian dimakan suku Batak di Sumatera Utara, Indonesia, sementara di Kepulauan Maluku kulit durian kering digunakan sebagai bahan bakar mengasap ikan atau menghasilkan produk rumah seperti talam. Manisan dan debunga durian merupakan salah satu sumber penting madu lebah, namun sifat madu tersebut tidak diketahui.[69]

  • Tempoyak
  • Pulut durian
  • Lempok durian
  • Kerepek durian
  • Aiskrim durian di Bogor
  • Gelato durian di Singapura
  • Kek perisa durian
  • Roti berinti durian
  • Lempeng durian
  • Krep durian
  • Bubur kacang hijau durian

Pemakanan dan khasiat

Durian (Durio zibethinus)
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz)
Tenaga615 kJ (147 kcal)
Karbohidrat27.09 g
- Serabut diet3.8 g
Lemak5.33 g
Protein1.47 g
Air65g
Vitamin A44 IU
Tiamina (vit. B1)0.374 mg (33%)
Riboflavin (vit. B2)0.2 mg (17%)
Niasin (vit. B3)1.074 mg (7%)
Asid pantotenik (B5)0.23 mg (5%)
Vitamin B60.316 mg (24%)
Folat (vit. B9)36 μg (9%)
Vitamin C19.7 mg (24%)
Kalsium6 mg (1%)
Besi0.43 mg (3%)
Magnesium30 mg (8%)
Mangan0.325 mg (15%)
Fosforus39 mg (6%)
Kalium436 mg (9%)
Natrium2 mg (0%)
Zink0.28 mg (3%)
Kolesterol0mg
Isi sahaja.
Buangan: 68% (kulit dan biji)
Sumber: USDA Nutrient database[70]
Peratusan dianggarkan
menggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.
Sumber: USDA Nutrient Database

Buah durian memiliki kandungan gula,[37] vitamin C, kalium dan triptofan asid amino serotoninergik yang tinggi,[71] dan menjadi sumber baik karbohidrat, protein dan lemak.[58][63] Ia disarankan sebagai sumber sihat lemak mentah oleh beberapa penyokong makanan mentah,[72][73] sementara yang lain mengelaskannya sebagai makanan glisemia tinggi, mengesyorkan pengurangan pemakanannya.[74][75] Orang yang mempunyai penyakit kencing manis atau tekanan darah tinggi secara tradisinya dinasihati mengelakkan durian.[76][77]

Durian dianggap sebagai makanan "panas" dan sesiapa yang terlebih makan durian akan mendapati dirinya berpeluh dengan banyaknya sejurus selepas itu.[76][78] Penawar tradisi adalah untuk minum air kosong dari pangsa kulit buah.[79] Selain itu, musim durian lazimnya berlaku bersama dengan manggis yang dianggap sebagai mempunyai kesan penyejuk kepada badan. Oleh itu, kedua-dua buah-buahan ini lazimnya dimakan bersama.[80]

Di Malaysia, rebusan daun dan akar durian pernah dijadikan ubat antipiretik. Rebusan ini dilumur pada dahi pesakit yang demam.[41] Penerangan paling lengkap terhadap kegunaan perubatan durian sebagai ubat ialah suatu preskripsi Melayu, dikutip Burkill dan Haniff pada 1930. Ia memberi arahan kepada pembaca supaya merebus akar Hibiscus rosa-sinensis dengan akar Durio zibethinus, Nephelium longana, Nephelium mutabile dan Artocarpus integrifolia, dan meminum air rebusan tersebut atau menuam menggunakannya.[81] Di Indonesia, kulit buah ini pun biasa dibakar dan abunya digunakan dalam ramuan untuk melancarkan haid dan menggugurkan kandungan. Abu dan air rendaman abu ini juga digunakan sebagai campuran pewarna tradisional.[82]

Satu lagi kepercayaan tempatan ialah durian memudaratkan kesihatan apabila dimakan dengan kopi[31] atau minuman beralkohol.[4] Kepercayaan mengenai alkohol ini boleh dikesan sehingga ke abad ke-18 apabila Rumphius menyatakan yang alkohol tidak patut diminum selepas memakan durian antaran ia akan menyebabkan ketidakcernaan dan nafas berbau. Pada 1929, J. D. Gimlette menulis dalam Malay Poisons and Charm Cures bahawa durian tidak boleh dimakan bersama brandi. Pada 1981, J. R. Croft menulis dalam Bombacaceae: In Handbooks of the Flora of Papua New Guinea bahawa "perasaan morbiditi" acap kali mengikuti penggunaan alkohol selepas memakan durian. Beberapa siasatan perubatan terhadap kesahan kepercayaan ini telah dijalankan dengan kesimpulan yang berbeza-beza,[4] tetapi satu kajian oleh Universiti Tsukuba mendapati kandungan sulfur buah ini yang tinggi menybabkan badan merencat aktiviti aldehid dehidrogenase, menyebabkan kekurangan 70% kebolehan mengeluarkan toksin dalam badan.[83]

Orang Jawa mempercayai durian memiliki mutu afrodisiak, dan meletakkan peraturan apa yang boleh dan tidak boleh dimakan dengan atau sejurus selepas durian.[31] Terdapat satu pepatah, durian jatuh sarung naik, yang merujuk kepada kepercayaan ini.[84] Amaran tentang anggapan kualiti gasang ini kemudian sampai ke Barat—ahli falsafah Swedenborg Herman Vetterling ada membuat ulasan mengenai "ciri erotik" durian pada awal abad ke-20.[85]

Pada 1920-an, Durian Fruit Products, Inc. di Bandar Raya New York melancarkan satu produk yang dipanggil "Dur-India" sebagai makanan tambahan kesihatan, berharga AS$9 bagi 12 botol, setiapnya mengandungi 63 biji pil. Pil ini dikatakan mengandungi durian dan satu spesies genus Allium dari India dan vitamin E. Syarikat tersebut menyatakan ia menyediakan "tenaga sihat lebih terpumpun dalam bentuk makanan berbanding dengan sebarang produk lain yang ada di dunia".[41]

Rujukan

WikiPedia: Durian http://www.proscitech.com.au/trop/d.htm http://etext.library.adelaide.edu.au/b/banfield/ej... http://aciar.gov.au/files/node/598/mn114-part1.pdf http://southeastasianfood.about.com/od/malaysianfr... http://travel.asiaone.com/Travel/News/Story/A1Stor... http://www.bigfootencounters.com/creatures/mawas.h... http://lipis-ismail.blogspot.com/2007/07/tanaman-d... http://www.drhatta.com/2012/Dis12/PanasDurian.html http://www.foodmarketexchange.com/datacenter/produ... http://www.genefitnutrition.com/durian.pdf